Monday, 23 March 2015

KESIMPULAN




    Pejuang-pejuang kemerdekaan negara telah banyak berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu.Terdapat beberapa tokoh yang boleh dijadikan contoh atau idola buat generasi kini dan yang akan datang.Segala pengorbanan, rintangan, dan penat lelah mereka berbakti untuk negara wajar diteladani.

    Menyorot kembali kepada sejarah perjuangan kemerdekaan di Malaysia (Tanah Melayu), mahu tidak mahu ianya menjurus kepada membincangkan berkenaan perihal kehebatan penentangan tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Tok Kenali dan Mat Kilau. Hakikatnya, pada ketika itu, kebanyakan penduduk Tanah Melayu tidak secara terang-terangan memikirkan untuk bebas daripada kepompong penjajah.

   Penentangan terhadap penjajah pada era sebelumnya adalah lebih bersifat individualistik. Kepentingannya juga adalah kepentingan individu, atau cenderung kepada kelompok kecil yang diwakilinya, bukannya untuk bangsa Melayu khususnya. Meskipun kebanyakkan gerakan kemerdekaan ini menuju kepada jalan buntu gara-gara kekurangan senjata, kurang sokongan daripada orang Melayu (kesatuan) serta dipalit dengan masalah komunikasi yang tidak menentu, namun gerakan awal penentangan ini telah membawa kepada kebangkitan gerakan nasionalisme yang lebih jitu serta memberi momentum yang baik terhadap proses kemerdekaan tanah air.

    Perlu diingatkan, kemerdekaan yang dicapai pada Ogos 1957 bukanlah satu proses yang  boleh dicapai dengan sekelip mata. Matlamat kemerdekaan itu hanya dapat dicapai setelah melalui satu proses yang sangat panjang. Kisah penjajahan negara yang penuh dengan onak dan duri ini sepatutnya dijadikan tauladan dan juga keinsafan yang mendalam. Kesedaraan terhadap strategi licik penjajahan era moden ini memungkinkan kita akan dijajah kembali biarpun kita tidak lagi dijajah dari segi fizikal namun sebaliknya, jika kita terus alpa dek dunia tanpa sempadan kini, tidak mustahil suatu hari nanti akan terus terbelenggu oleh penjajahan mental dan juga terdedah kepada pelbagai lagi jenis penjajahan yang rumit dan kompleks pada masa akan datang.

2 comments:

  1. Kita memang sedang dijajah secara tidak sedar sekarang ini...Cuba lihat Macdonald, Starbuck,Levis,
    Cuba tanya anak zaman ini siapa idola mereka...Mat Kilau kah, Dato Bahaman kah...? Bukan...Justin Bieber, Rihana. dll

    ReplyDelete