Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan
Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan Tok
Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’.
Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas.
Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila
tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan
juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.
Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan
Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap
lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara.
Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu
tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut
berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara.
Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari
bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air
yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini.
Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air
dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram,
Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana,
dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.
Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52
tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi
amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi
Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di
Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat
Semenanjung.
Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan
Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah
kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam.
Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu
dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas
penduduk watan.Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar
Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri
kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.
Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu
Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.
Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila
tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada
dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa
menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu.
Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki
Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana
bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat
Islam berjihad menentang British dan sekutunya.
Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi
menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan
pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.
Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa
tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga
menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar
cukai dan memulakan kempen penentangan.Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk
menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air
itulah menjadi prolog kisah perjuangannya.
Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan
pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi
menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh
dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka.
Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai
Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian
mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk
menangkap Mat Hassan.
Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak
ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri.
Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira
1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata.
Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk
memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu
menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di
belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada
melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya.
Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan
menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan
peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.
Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh
menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke
Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran
sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja.
Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di
Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada
Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan.
Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan
Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara
Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka
meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir.
Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam
Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi
bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.
Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk
Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok
Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka.
Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat
bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan
menerima ganjaran.Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi
kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar
seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut.
Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke
Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915.
Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak
berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya,
mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke
Singapura.
Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali
menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk
membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut
dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915.
Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai
Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut
dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya
bersembunyi di situ.Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada
mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di
Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu
akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut
terbunuh bersama ramai pengikutnya.
Mayatnya kemudian
diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan
kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir
Pekan, Tumpat, Kelantan.
No comments:
Post a Comment